Tadi siang pergi Giant Batu Caves sebab nak beli barang keperluan
rumah. Mak aku suruh tapi dia tak ikut sama sebab letih baru balik
kenduri. Oleh kerana aku belum minta couple dengan Daiyan Trisha lagi,
jadi aku pergi seorang diri saja. Kalau aku dah couple dengan dia nanti
baru la aku show off kesana kemari. Waktu tu baru orang Gombak kenal
siapa Zahir sebenarnya. Ingat aku tak berupaya ke?
Ramai
betul orang kat Giant tadi. Kebanyakannya berkeluarga dengan membawa
anak-anak lingkungan sekolah rendah belum khatam Iqra'. Betis-betis pun
ada tapi ramai makan KFC. Parking kereta pun penuh tau. Mujur aku
berfikir seperti cendiakawan dengan hanya membawa motor. Tak bergaduh
langsung nak cari parking.
Bila dah ramai sangat orang
kat dalam Giant ni, adegan langgar-langgar troli memang berleluasa.
Sempit gila kan. Tu belum masuk lagi hal makcik terjumpa sedara mara
lepas tu borak tengah lorong sampai aku nak ambil sabun pencuci pun
payah. Dah cakap tumpang lalu pun dia buat tak tahu saja. Ya aku tahu
lah suara aku lembut macam Raja Ema masa muda tapi timbang rasa lah
sikit makcik oi.
Waktu nak bayar kat kaunter pun boleh
buat bergaduh juga bagi mereka yang tidak biasa memancing. Macam aku
biasa memancing, jadi sifat sabar dalam diri ni memang sudah terpatri di
jiwa. Biasa lah kena beratur panjang sikit. Sekarang ni memang musim
orang cari barang keperluan rumah sebab baru dapat gaji kan. Beli barang
pun macam esok darurat tak keluar rumah.
Selesai aku
beli barang semua, aku terus ke motor. Aku beli barang boleh tahan
banyak. Kalau tak banyak, takkan la aku bawa troli tadi kan. Baik aku
bawa bakul. Bila barang dah banyak tu, aku perlu gunakan minda yang
cerdas untuk menyusun barang dalam raga motor. Sebenarnya otak aku tak
lah hebat sangat. Jadi aku mengambil sedikit masa juga nak menyusun
barang tu. Dalam keadaan terpinga nak susun barang yang banyak dalam
raga motor, aku masih kelihatan comel.
Suddenly,
" Zaza zaza zaza!"
Aku
dengar suara gadis comel panggil nama timang-timangan sewaktu di kolej.
Panggilan tu dari belakang. Ini bermaksud aku tak nampak wajah dia
lagi. Namun yang pasti, gadis tu mesti comel punya lah kerana hanya yang
comel saja berani menegur aku sebab bila dorang tegur, mesti aku balas
balik. Tak pernah lagi aku mengecewakan mereka. Dikecewakan oleh mereka?
Itu nanti aku cerita.
Oleh kerana leher aku tak
seperti mereka yang XXL, jadi mudah saja aku toleh kebelakang untuk
melihat pemilik suara yang memanggil aku tanpa perlu mengalihkan posisi
badan aku. Aku ada beberapa kawan bersaiz XXL yang sukar menoleh kerana
leher pendek. Dan berdaki. Yang pasti mereka bukan pendaki.
Bila aku dah toleh, baru la aku tahu siapa pemilik suara tersebut.
"Oh! Daiyan Trisha! Wah wah wah pergi Giant pun pakai kebaya tau dia ni. Bertambah-tambah cantik lagi dibuatnya!"
Sengaja
aku puji memandangkan gadis memang gemar bila dipuji. Dan sebagai anak
jantan yang minta diuji, rasanya ujian melihat keindahan makhluk Tuhan
dihadapan aku ni memang patut dipuji. Pujian yang aku berikan pada
Daiyan Trisha tu pun memang salah satu sifat terpuji. Tak sia-sia masa
kecil dulu aku suruh abah aku belikan album pertama Raihan bertajuk
Puji-Pujian. Ntah sapa la yang merembat kaset aku tu agaknya.
Jarak aku dan Daiyan Trisha ketika itu adalah dalam 10 langkah. Kalau ikut kaki budak umur 3 tahun, mungkin dalam 25 langkah.
Tiba-tiba,
"Ahhhh tolong!" Daiyan Trisha menjerit. Tinggi key dia tu.
Nak
tahu tak kenapa dia menjerit? Kat depan mata aku, ada sorang mamat
bawak EX5 dengan pantas meragut beg tangan Daiyan Trisha. Laju gila
mamat tu, macam Naruto. Daiyan Trisha terus tergolek akibat ditarik.
Lembik betul Daiyan Trisha sebab langsung tiada pergelutan. Habis tu
ingat aku nak berdiam diri? Helmet yang ada dalam raga motor tu aku
lempar ke arah peragut celaka tu. Pengalaman bermain rondes
bertahun-tahun aku jadikan azimat.
"Kelepap!"
Balingan
tersebut tepat mengenai kepala peragut terbabit. Memang tergolek la
ceritanya kan. Aku terus meluru ke arah peragut terbabit tapi belum
sempat aku nak pijak, dia dah bangun sambil mengeluarkan pisau. Pisau tu
tak lah besar sangat tapi boleh la kalau setakat nak asah buat pensil
khat. Nampak tajam juga pisau tu sebab bila terkena cahaya matahari, ia
mampu memantulkan cahaya.
"Hati-hati nak!" Ada sorang makcik yang juga saksi kejadian memberi peringatan.
"Baca dulu pergerakan lawan wahai anak muda" Pakcik bermisai lebat memberi tunjuk ajar.
Secara
jujurnya, ini kali pertama aku berdepan situasi sebegini. Selama hampir
24 tahun aku hidup di dunia, ini lah kali pertama. Ntah apa agaknya
yang mendorong aku untuk jadi berani sebegini. Mungkinkah ini kuasa
cinta? Mungkin juga kerana Daiyan Trisha sedang memandang aku dengan
penuh harapan. Sememangnya ini saja masanya untuk aku tunjukkan sesuatu
pada Daiyan Trisha.
"Dengan kuasa cinta! Akan menghukum mu!" Aku jerit.
Jeritan
aku tu langsung tidak menakutkan peragut terbabit kerana dia terus
menyerang aku sebaik aku selesai menjerit. Seperti yang aku katakan
tadi, pantas macam Naruto. Walaupun peragut terbabit pantas, tapi dia
tak tahu yang aku ni peminat filem-filem Jackie Chan. Dengan hanya 2,3
pergerakan ringkas, peragut tadi rebah menyembah bumi. Aku tumbuk tangan
ke udara gaya seorang juara.
Daiyan Trisha
berlari-lari anak mendapatkan aku sambil aku hanya mendepakan tangan
menantinya. Dipeluknya aku hingga lupa bukan muhrim.
"Wangi bau rambut u. Syampu apa ni?"
"Terima kasih u! Tak sangka u begitu berani berhadapan dengan maut hanya untuk menyelamatkan beg tangan i." Dia tak jawab pun soalan aku.
"Sedangkan racun pun akan i telan kalau u menyatakan ianya madu wahai sayang."
Daiyan
Trisha masih hangat dalam dakapan aku manakala para hadirin ada yang
menjerit-jerit, bertepuk tangan dan juga menangis menyaksikan kemanisan
kejadian tersebut yang tidak mungkin dapat disaksikan lagi dimana-mana
melainkan dari filem-filem romantis box office.
" I pakai syampu bawang Jackie Chan." Daiyan Trisha baru jawab.
*minta maaf pada mereka yang terlibat terutama sekali Daiyan Trisha yang dah tentu takde kena mengena langsung dalam hidup aku.