Friday, January 27, 2012

Salahkan Uncle Tat 2

Daniel dah lama tak naik bas Intrakota ni. Jadi masa nak bayar duit tambang tu, terhegeh-hegeh juga la dia nak keluarkan duit syiling dari dompet jenama Alien Workshop nya tu. Bila dah bayar duit tambang, dia ambil tempat duduk yang paling belakang sekali. Ketika zaman sekolahnya dulu Daniel tak suka nak masukkan baju dalam seluar, jadi sudah menjadi kebiasaan budak macam dia untuk memilih tempat duduk belakang sekali. Baru nampak jahat.

Dia bosan. Dia buka beg silang kulit buaya Sarawak kepunyaannya. Dia ambil maker pen warna biru yang dia curi di pejabat tempat dia bekerja. Lima minit lepas tu, muka Goku dan Bezita bergaduh telah berjaya dilukis oleh Daniel dibelakang tempat duduk bas tersebut. Siap dengan tanda tangan lagi tau. Dia sengih. Tak sangka dia berjaya menapau lukisan gaya Jepun sebegitu. Selama ni dia hanya lukis muka Usop Sontorian.

Dah habis melukis, dia layan lagu kat Ipod pula. Daniel memang urban orangnya. Orang urban sepertinya takkan nak layan lagu Amelina berduet dengan Iwan. Jadi lagu-lagu yang dilayannya ketika itu adalah lagu yang agak popular di kelab-kelab malam. Suka benar Daniel akan lagu-lagu yang mempunyai bunyi bass membunuh. Dalam 2,3 lagu lepas tu, dia terus terlelap. Lagu macam tu pun mampu melelapkan dia.

Lama juga Daniel terlelap. Bila dia terjaga, dia masih dalam bas. Oleh kerana Daniel bukan anak orang kaya, jadi dia tak kena culik pun. Dia tengok sekeliling. Bas kosong. Tinggal dia dan pemandu bas saja. Sebenarnya masa dia mula naik bas tadi, memang dia seorang saja penumpang yang ada. Dia lihat suasana diluar bas. Dia pelik sikit sebab tempat sekeliling sungguh asing baginya. Oleh kerana terfikir yang kemungkinan dia tersalah bas, jadi dia ke hadapan untuk tanya pemandu bas.

" Uncle! Ni bas mau pergi itu Ampang kan?" Daniel tanya pada pemandu bas berbangsa cina yang agak berumur.

" Ya la ni mau pergi Ampang la. Awak duduk la dulu. Nanti sampai la Ampang." Uncle yang bawa bas menjawab.

" Tapi ini jalan macam lain saja." Daniel tak puas hati.

" Mana ada lain. Hari-hari saya guna ini jalan tau"

Dalam mamai dan kebingungan, Daniel terpandang sebuah majalah yang menampilkan Azhar Sulaiman dimuka hadapan majalah tersebut.

" Azam baru Azhar Sulaiman untuk tahun 1999?" Daniel bermonolog membaca teks yang tertulis pada muka hadapan majalah tersebut.

Daniel lebih bingung jadinya. Adegan demi adegan dalam filem Back To The Future mula menggodam mindanya. Dia sedikit cuak.

" Sekarang ni tahun 1999 ke uncle?" Daniel tanya sambil terbeliak biji mata. Konon cemas.

" Aiya! Kat rumah awak takde itu kalendar ke? Ini tahun 1999 la!" Suara uncle sedikit tinggi.

Daniel tergamam. Peluh di dahi jelas kelihatan. Baru dia teringat bahawa bas Intrakota sudah tidak digunakan pada tahun 2012. Bas Intrakota sudah lama pupus.

" Tapi kini bila dewasaaaaa ku mula sedar betapa mimpi hanyalah suatu permainan jiwa insan dalam kesepiannnnnnn." Uncle bawa bas tiba-tiba tarik lagu Layar Impian dendangan Ella.

Daniel terus bagi renungan tajam pada uncle tersebut. Uncle tu tak perasan pun Daniel usha dia sebab dia tengah fokus bawa bas. Lagipun uncle tu rabun sikit.



* akan bersambung kot....

1 kemaen lagi tau:

Anonymous said...

Kalau ini semua hanyalah Mimpi Daniel, jaga kau!