Tahun 1999 menandakan aku baru darjah 4. Ini bermakna aku tiada awek lagi ketika itu. Sama macam sekarang. Masa tu aku lebih gemar bermain rondes berbanding melihat betis di Pavilion sambil memperagakan kasut Supra. Ok aku tak pernah ada kasut tu. Lagipun masa tu mana ada Pavilion. Kamdar dan Sogo ada la. Masa aku darjah 4, aku sekelas dengan Fadh. Pada mulanya aku ingatkan Fadh ni anak mat saleh. Ini bermakna muka dia tak melayu sangat. Dan yang penting basikal dia tak perlu brek guna tangan. Brek kaki sudah memadai. Urban. Ntah apa yang urban pun aku tak pasti.
Masih segar dalam ingatan, ketika tu ada kerjasama antara Esso dan pihak sekolah. Ada projek anak angkat katanya. Pengurus-pengurus besar Esso akan memilih secara rawak murid-murid yang akan dijadikan anak angkat. Bila berkata tentang pemilihan secara rawak, bermakna tidak perlulah kami menjalani uji bakat seperti menyanyi, menari dan juga melawak. Masa tu pun belum ada rancangan Mentor seperti hari ini. Imam Muda pun masa tu baru khatam Al-Quran agaknya. Tanpa menjalani uji bakat di Media Prima, aku telah terpilih untuk mengikuti program anak angkat tersebut.
Nampak sangat ini rezeki aku. Mungkin juga guru kelas aku yang tolong. Nama dia Cik Fauziah. Masa tu Cik, sekarang mungkin dah Puan. Dia ni sekampung dengan aku dan juga kenal ayah aku. Mengikut ceritanya, ayah aku pernah menghantar dia ke sekolah ketika ayah aku masih muda dan larat mengangkat dua tong gas sekaligus. Dalam kelas aku tu, aku rasa aku seorang saja yang terpilih untuk mengikuti program bersejarah tersebut. Aku tahu ramai yang cemburu. Mujurlah tak kena santau. Orang cemburu ni bukan kita boleh tahu gerak hatinya. Kan?
Program anak angkat tersebut telah diadakan secara gilang-gemilang di sebuah hotel hebat di tengah pusat bandaraya yang kita sayangi. Takkan nak buat program macam tu kat sekolah, tak urban la. Hari tersebut aku pakai baju sekolah yang bernila. Kalau tak tau nila tu apa, aku peduli apa. Mak aku suka letak nila ketika membasuh baju sekolah aku. Baru la nampak bermutu. Ada nilai kontemporari. Untuk pergi ke hotel tersebut, pihak sekolah telah menyediakan bas. Bas berhawa dingin gitu. Bas ekspres. Kemain selesa lagi tau. Eh tiba-tiba tersebut ‘kemain’. Dah lama tak sebut.
Tiba sahaja di hotel, kami telah diberi nombor meja masing-masing. Aku tak ingat nombor meja tapi aku ingat lagi ada sepasang suami isteri melambai mesra ke arah aku. Oleh kerana aku tak sombong, aku balas lambaian mereka pakej sekali dengan senyuman manis yang sudah sinonim dengan diri ini. Meja tersebut memang tiada makanan tetapi ini tidak bermakna yang meja itu kosong. Ada kotak-kotak hadiah. Wah wah wah gembira di hati ini tiada terperi tau! Ni program anak angkat ke program Akademi Santa Claus? Kotak-kotak hadiah tu pun jenis besar-besar. Kalau nak pegang, memang kena pegang dua tangan.
Seperti kebiasaannya program sebegini, mesti lah ada 2,3 orang yang akan memberi ucapan. Parti politik kalau nak bagi sumbangan pun ada ucapan tau. Siap berkempen lagi suruh undi mereka. Nak bagi sumbangan,bagi je la. Tak perlulah nak kutuk parti ni parti tu. Ntah ikhlas ke tak menyumbang tu. Berbalik kepada ucapan di hotel tadi, mereka lebih gemar berbahasa inggeris. Brader sebelah aku yang kononnya ayah angkat aku tu pun ada tanya aku kelas ke berapa sambil berbahasa inggeris. Aku jawab dalam bahasa ibunda. Aku risau juga kalau aku speaking, dia terus tak nak bagi hadiah pada aku. Maklumlah aku ni jenis speaking bunyi-bunyi Rusia.
Tak lama selepas itu, acara yang ditunggu-tunggu pun tiba. Kami diminta berdiri dan seterusnya mendapatkan makanan di suatu sudut. Mihun goreng, nasi goreng dan mee goreng jangan harap aku nak sentuh. Aku lebih gemar penuhkan pinggan aku dengan makanan-makanan barat. Macam-macam jenis bebola makanan laut ada kat atas pinggan aku tu. Aiskrim pun aku tak terlupa nak ambil. Maklumlah masa tu baru pertama kali makan buffet. Gila tak urban kan aku? Tapi masa aku tadika aku dah ada kasut berlampu. Lagi urban dari kasut Supra warna terang-terang tu tau.
Sambil makan ada la berbual sikit dengan ayah angkat konon-konon tu. Bini dia pun ada tanya-tanya aku pasal pelajaran. Mujurlah masa tu aku kelas pertama, tak lah segan sangat nak berbual. Selesai makan, acara gilang-gemilang ni pun dah nak tamat. Macam biasa, tapak tangan aku gatal. Aku dah dapat teka, ni mesti ada orang nak bagi sumbangan. Dari celahan kotak-kotak hadiah tu, aku ada nampak nama aku pada kotak hadiah dengan pembalut hadiah berwarna biru. Aku senyum. Aku teka dalam tu mesti ada PlayStation. Kalau dia bagi aku sangkar burung,memang aku mengamuk. Burung tau bukan ‘burung’.
Seperti yang dijangka, kotak hadiah yang tertulis nama aku telah diserahkan kepada aku. Budak-budak yang lain pun dapat hadiah juga. Hadiah paling besar yang budak dapat hari tu adalah basikal. Mesin basuh memang sorang pun tak dapat. Apa jadah bagi mesin basuh pada budak darjah 4. Selain dari kotak hadiah tu, aku juga menerima sumbangan wang ringgit dalam sampul. Kalau tak silap RM100 seorang. Sebelum aku pulang dengan menaiki bas, aku sempat salam pakej cium tangan pada ayah angkat tu. Siap berterima kasih lagi tau.
“ Belajar rajin-rajin ya. Ingat masa depan.” Sempat dia memberi nasihat.
Kalau nak ikut tahun, tahun ni umur aku 22 tahun. Kawan-kawan lain masuk universiti dan ada yang dah ambil degree. Aku pula masih sibuk nak habiskan praktikal. Diploma punya praktikal pula tu. Ntah berapa ramai agaknya yang dah bagi nasihat macam tu sebelum ni. Lagi satu, dalam kotak hadiah tu sebenarnya ada kereta kontrol. Kereta kontrol tu pula masih ada bawah katil aku. Nampak gaya macam jadi tukun untuk labah-labah.